Kunci Pembelajaran al-Quran
Belajar membaca al-Quran bukanlah seperti kita belajar ilmu-ilmu yang lain. Ini kerana untuk memiliki kemahiran membaca al-Quran memerlukan kerajinan, kesungguhan untuk menyebut makhraj huruf dengan betul dan paling penting ialah mengikuti segala tunjuk ajar yang disampaikan oleh guru.
Ada sesetengah orang yang dapat menyebut hukum tajwid dengan sempurna secara teorinya, namun ketika membaca al-Quran bacaannya tidak tepat sepertimana yang dikehendaki oleh hukum tajwid itu sendiri.
Jadi yang penting di sini adalah kita dapat membaca ayat-ayat al-Quran dengan tepat berdasarkan hukum tajwid walaupun secara teorinya kita tidak mengetahui nama-nama hukum tajwid tersebut.
Ini menunjukkan menguasai kemahiran membaca al-Quran dengan betul sangat penting dan ianya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Tanpa kesungguhan dan keinginan yang kuat seseorang itu akan berputus asa dipertengahan jalan.
Jadi di sini saya ingin menekankan satu kunci utama yang wajib dimiliki ketika kita belajar membaca al-Quran. Walaupun ianya nampak mudah, tetapi ramai dari kita yang abaikannya. Mari kita perhatikan maksud dari ayat al-Quran ayat yang ke 16 hingga ayat 18 Surah al-Qiyamah:
“Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). (16) Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); (17) Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (18)”
Asbabun nuzul(sebab turun) ayat di atas ialah kerana Allah s.w.t hendak menegur Nabi kerana Nabi tergesa-gesa membaca al-Quran sebelum Malaikat Jibril menghabiskan bacaannya.
Ayat di atas selain sebagai teguran yang khusus kepada Nabi, ia juga secara umumnya merupakan teguran kepada kita yang belajar al-Quran. Berdasarkan ayat di atas kita semua dapat memahami bahawa Malaikat Jibril a.s adalah guru dan Nabi Muhammad s.a.w adalah anak murid.
Jadi sebagai anak murid, kita sepatutnya membiarkan guru terlebih dahulu menghabiskan bacaannya. Ketika guru sedang membaca kita hendaklah memerhatikan cara bacaan guru tersebut, mendengar dengan teliti hukum tajwidnya, kemudian barulah kita pula membaca ayat-ayat yang telah dibaca tadi.
Adalah menjadi kesalahan jika ketika guru membaca, anak murid juga tergesa-gesa mengikut bacaan guru tersebut. Kesalahan ini banyak saya jumpa ketika saya mengajar. Ingat, sebenarnya sekiranya kita mengikut juga bacaan guru ketika guru sedang membaca, kita tidak akan dapat mengikut bacaan guru dengan tepat.
Kunci kejayaan sebenarnya ialah guru membaca kita mendengar, kemudian baru kita membaca. Mungkin kita risau akan melakukan kesalahan hukum tajwid ketika membaca. Ini adalah normal. Logiknya pun kita sedang belajar, mestilah akan melakukan kesalahan. Kesalahan itulah yang akan menjadi resepi utama kepada kejayaan kita.
Ini kerana apabila kita melakukan kesalahan bacaan, guru akan menegur kesalahan tersebut dan akan menunjukkan cara bacaan yang betul mengikut hukum tajwid, jadi secara tak langsung kita juga akan mengetahui cara bacaan yang sebenarnya.
Jadi, pastikan kita memiliki kunci utama ini ketika belajar al-Quran bersama guru. Ingatlah bahawa kita berguru kerana kita ingin mengambil sesuatu yang kita tidak tahu dari mereka.
——————————————
Mengenai Penulis
Abdullah Idris ialah seorang guru KAFA yang telah berpengalaman mengajar al-Quran dan Tajwid selama 3 tahun iaitu sejak tahun 2006 lagi. Di blog ini beliau akan berkongsi sedikit ilmu & pengalaman beliau tentang ilmu tajwid. Lawati blog beliau di http://abdullahidris.com untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.
———————————————
*nota: Anda dibenarkan untuk menyalin, menyebar dan meletakkan artikel ini di blog anda, di forum atau di mana sahaja asalkan anda tidak mengubah setiap isi kandungan artikel ini termasuk biografi penulis.
——————————————
Sekiranya anda merasakan artikel ini bermanfaat, apakata anda tinggalkan sedikit komen atau daftar sebagai ahli newsletter kami.
2 Comments to “Kunci Pembelajaran al-Quran”
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI



By bujang susah, November 2, 2009 @ 1:16 pm
salam ziarah… blog yg sgt bermanfaat
By admin, November 2, 2009 @ 4:27 pm
Terima kasih kerana sudi ziarah ke blog saya.