Hukum & Cara Bacaan Basmallah

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Dalam entri lepas saya yang berkaitan dengan hukum tajwid, kita telah pun mengetahui tentang hukum dan cara bacaan Isti’azah. Saya yakin yang anda sudah pun faham dengan pelajaran tersebut sebab tiada sebarang pertanyaan pun. Itu tandanya fahamla kan. Tetapi sekiranya ada sebarang kemusykilan, saya harap janganlah anda malu untuk bertanya yer.

InsyaAllah dalam entri kali ini, kita sama-sama akan mempelajari tentang satu lagi bab di dalam ilmu tajwid iaitu Hukum dan Cara Bacaan Basmallah. Para ulama’ telah pun bersepakat bahawa hukum membaca Al-Basmallah di setiap awal surah adalah sunat kerana kalimah Al-Basmallah telah tertulis padanya. Tetapi tidak termasuk di dalam hukum sunat ini pada surah al-Fatihah kerana Al-Basmallah adalah satu daripada ayat daripadanya, maka hukum membaca Al-Basmallah pada awal surah al-Fatihah adalah wajib.

Begitu juga tidak termasuk di dalam hukum sunat ini ialah surah al-Baraah, atau at-Taubah. Ini kerana apabila anda hendak memulakan bacaan pada surah al-Baraah, anda tidak diharuskan memulakannya dengan Al-Basmallah kerana ia tidak tertulis pada surah al-Baraah. Dan selain itu juga surah al-Baraah diturunkan ketika berlakunya peperangan. 

Tapi, bagaimana pula sekiranya anda memulakan bacaan di pertengahan surah? Perlukah dimulakan dengan Al-Basmallah?

Jawapannya ialah sunat anda memulakan bacaan dengan Al-Basmallah ketika dipertengahan surah atau di mana-mana bahagian ayat di dalam al-Quran. Ini kerana Nabi telah bersabda di dalam satu hadisnya yang diriwayatkan oleh Abdu Daud yang bermaksud:

“Setiap perkara baik yang tidak dimulai dengan Bismillahir-Rahmanir-Rahim, maka terputuslah keberkatannya” (Riwayat Abu Daud)

Saya rasa kita semua sudah sedia maklum dengan lafaz al-Basmallah ni kan. Lafaznya adalah seperti di bawah:

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 

Ertinya :  Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Sekarang mari kita sama-sama melihat  bagaimana  cara untuk memulakan bacaan al-Basmallah diantara dua surah. Sekiranya anda telah menamatkan bacaan pada akhir sesuatu surah, kemudian ingin meneruskan pula bacaan anda dengan surah yang baru, maka anda diharuskan memulakan bacaan dengan tiga cara di bawah.

1) Cara yang pertama ini adalah anda berhenti di akhir surah dan berhenti pada Basmallah. Kemudian dengan nafas yang baru anda memulakan bacaan awal ayat surah yang baru. Inilah cara yang paling utama untuk anda gunakan. Sebagai contoh sila lihat ayat di bawah.

إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ () بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ () قُلۡ

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ

Bagi contoh di atas ialah dari akhir surah al-Kauthar. Maksud tanda bulat bewarna merah itu ialah tempat untuk berhenti. Selepas akhir ayat surah tersebut, anda berhentikan bacaan. Kemudian membaca Basmallah dan berhenti. Dan kemudian dengan nafas baru anda menyambung dengan surah baru, iaitu surah al-Kafirun.

2) Cara yang kedua pula ialah anda berhenti diakhir surah. Kemudian anda menyambung bacaan Basmallah dengan awal surah. Anda boleh lihat contoh di bawah:

إِنَّآ أَعۡطَيۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ () بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ  قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ 

Dalam contoh di atas kalau anda perhatikan, diantara Basmallah dan awal surah al-Kafirun tidak terdapat tanda berhenti, iaitu yang saya tandakan dengan bulat berwarna merah. Ini untuk menunjukkan bahawa anda terus menyambung bacaan diantara Basmallah dengan awal surah.

3) Untuk cara yang ketiga pula ialah anda menyambungkan semuanya sekali, iaitu menyambungkan terus bacaan akhir surah, Basmallah dan awal surah sekaligus dengan satu nafas. Anda boleh lihat contoh ayat di bawah:

إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ  بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ  قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ

Pada contoh di atas, dapat diperhatikan bahawa tiada langsung tempat untuk berhentikan bacaan samada di akhir surah atau Basmallah. Ini kerana anda menyambungkan terus semuanya. Ini selalunya cara yang digunakan oleh para penghafaz al-Quran.

Ini supaya mereka dapat mengulang hafazan mereka dalam waktu yang singkat. Tetapi kalau anda nak menggunakan juga cara yang ketiga ini tidak menjadi masalah, asalkan anda mempunyai nafas yang panjang.

Namun perlu saya ingatkan di sini bahawa terdapat satu cara yang tidak dibolehkan untuk membacanya. Ini kerana sekiranya anda menggunakan cara bacaan ini, ianya akan menimbulkan sangkaan yang salah iaitu Basmallah adalah akhir daripada surah. Sila lihat contoh di bawah:

إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ  () قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ

Perhatikan tanda berhenti iaitu bulat bewarna merah yang saya letakkan di akhir Basmallah. Ini menunjukkan bahawa anda memberhentikan bacaan pada Basmallah, tetapi sebelum itu anda telah pun menyambungkan bacaan di akhir surah dan Basmallah. Cara inilah yang tidak dibolehkan seperti yang telah saya terangkan di atas. 

Dapatkah anda memahami cara-cara hukum bacaan Basmallah yang telah saya terangkan? Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, silalah bertanyakan kepada saya melalui ruangan komen yang disediakan.


Mengenai Penulis

Abdullah Idris ialah seorang guru KAFA yang telah berpengalaman mengajar al-Quran dan Tajwid selama 3 tahun iaitu sejak tahun 2006 lagi. Di blog ini beliau akan berkongsi sedikit ilmu & pengalaman beliau tentang ilmu tajwid. Lawati blog beliau di http://abdullahidris.com untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.
————————————————————————————
*nota: Anda dibenarkan untuk menyalin, menyebar dan meletakkan artikel ini  di blog anda, di forum atau di mana sahaja asalkan anda tidak mengubah setiap isi kandungan artikel ini termasuk biografi penulis.
————————————————————————————

Sekiranya anda merasakan artikel ini bermanfaat, apakata anda tinggalkan sedikit komen atau daftar sebagai ahli newsletter kami.

Share/Save/Bookmark

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply