Hukum Ikhfa’ Haqiqi
Assalamualaikum pembaca sekelian,
Alhamdulillah, bertemu lagi kita dalam entri terbaru saya berkaitan hukum tajwid. Sebelum kita belajar hukum baru pada hari ni, saya nak tanya sekiranya anda mempunyai masalah berkaitan dengan hukum-hukum tajwid yang lepas. Sekiranya ada pastikan anda bertanya kepada saya.
Jadi pada entri kali ini saya akan menerangkan kepada anda tentang hukum bacaan Ikhfa’ . Apakah hukum Ikhfa’ itu pembaca sekelian?
Al-Ikhfa’ menurut bahasa ialah tersembunyi. Manakala menurut istilah ilmu tajwid ialah membaca huruf bertanda sukun( Nun Sukun/Tanwin) dengan sifat bacaan antara Izhar dan Idgham tanpa sabdu serta mengekalkan sifat dengung huruf pertama. Maksud huruf pertama di sini ialah Nun Sukun dan Tanwin.
Menurut takrif yang lain ialah menyembunyikan huruf pertama( Nun Sukun atau Tanwin) pada huruf kedua( huruf Ikhfa’ )serta mengekalkan sifat dengungnya dengan sempurna dua harakat dengan sifat bacaan diantara Izhar dan Idgham.
Untuk mudah fahamnyer pembaca sekelian, apabila nun sukun atau tanwin bertemu dengan huruf Ikhfa’, maka lafaz nun sukun atau tanwin tadi hendaklah disembunyikan di sisi huruf Ikhfa’. Cara menyembunyikannya ialah dengan didatangkan makhraj huruf Ikhfa’ tersebut, kemudian kekalkan sifat dengung nun sukun atau tanwin tadi secara sempurna dua harkat. Anda jangan risau kerana saya akan tunjukkan cara bacaannya nanti. Yang penting sekarang ialah anda fahamkan dari segi teorinya dahulu.
Ok, kita sambung ke bahagian seterusnya iaitu huruf-huruf Ikhfa’ Haqiqi. Ada berapa huruf Ikhfa’ ? Huruf Ikhfa’ ada lima belas semuanya iaitu:
ت ث ج د ذ ز س ش ص ض ط ظ ف ق ك
Sekiranya anda membaca al-Quran Resam Uthmani, ada tanda yang digunakan bagi menunjukkan bahawa hukum tersebut adalah hukum bacaan Ikhfa’. Tandanya ialah pada huruf nun sukun tidak diletakkan tanda sukun di atasnya dan huruf Ikhfa’ tidak mengandungi tanda sabdu. Sila lihat contohnya di bawah:
عَن صَلَاتِہِمۡ
Anda lihat huruf yang saya tandakan warna merah. Lihat pada nun mati di mana tidak terdapat tanda sukun di atasnya. Manakala huruf Ikhfa’ selepasnya tidak mengandungi tanda sabdu. Untuk tanwin pula, tandanya ialah baris dua di atas dan di bawah, baris keduanya tidak sama. Dan untuk baris dua dihadapan, ia akan menggunakan tanda 99 kecil. Manakala huruf Ikhfa’ selepasnya juga tidak terdapat tanda sabdu. Sila lihat contoh di bawah:
حُبًّ۬ا جَمًّ۬ا , مَّآءٍ۬ دَافِقٍ۬ , لَقَوۡلٌ۬ فَصۡلٌ۬
Anda boleh lihat pada huruf yang saya tandakan dengan warna merah. Lihatlah pada tanda baris dua di atas, di bawah dan di hadapan. Untuk baris dua di atas dan di bawah, baris keduanya tidak sama. Dan untuk baris dua di hadapan pula menggunakan tanda 99 kecil. Tapi saya rasa mungkin agak kurang jelas contoh di ataskan. Takper, kalau tak jelas anda boleh lihat di dalam al-Quran sebenar berdasarkan tanda yang saya beritahu tadi.
Hukum Ikhfa’ Nun Sukun Dan Tanwin ini dinamakan juga Ikhfa’ Haqiqi. Anda perlu ingat nama ini kerana di dalam bab Mim Sukun juga terdapat satu lagi hukum Ikhfa’, namun namanya berlainan sedikit. Dan begitu juga huruf serta tanda bacaannya.
Ok, sekarang saya akan tunjukkan pula kalimah-kalimah yang terdapat hukum bacaan Ikhfa’ Haqiqi di dalamnya. Saya hanya akan memberikan lima contoh sahaja, dan untuk huruf selebihnya anda cuba cari sendiri yer. Boleh kita sama-sama lihat sejauh mana kefahaman anda tentang hukum ikhfa’ ni. Sila lihat kalimah di bawah:
وَلَآ أَنتُمۡ = Nun Sukun bertemu Ta
ڪَٱلۡعِهۡنِ ٱلۡمَنفُوش = Nun Sukun bertemu Fa
كُتُبٌ۬ قَيِّمَةٌ۬ = Tanwin bertemu Qaf
مَن ثَقُلَتۡ = Nun Sukun bertemu Tha
عَن صَلَاتِہِمۡ = Nun Sukun bertemu Sod
Baiklah pembaca sekelian. Setelah saya tunjukkan contoh hukumnya secara teori, sekarang saya akan tunjukkan cara bacaannya pula melalui video di bawah. Anda boleh lihat dan cuba praktikkan. Kalau tak boleh atau tak faham bolehlah tanya kat saya yer.
Di dalam video ni saya akan membacakan berdasarkan contoh-contoh kalimah di atas yer. Jadi, sila rujuk semula kalimah di atas ketika anda menonton video di bawah ok.
Hukum Bacaan Ikhfa’ Haqiqi
Selamat menonton dan saya harap anda dapat mempraktikkan hukum bacaan Ikhfa’ Haqiqi
!
Apa pendapat anda?
P/S : Sekiranya anda baru di blog ini, daftarkan emel anda untuk melanggan entri terkini saya hanya melalui emel. Atau langgan melalui RSS feed.
1 Comment to “Hukum Ikhfa’ Haqiqi”
Syarat dan Rukun Bacaan Al-Quran | abdullahidris dot com — October 11, 2009 @ 9:20 pm
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI


